Kereta
Datuk Tersadai Di Jalan
Siri Bercakap dengan Jin Siri Ke 4
Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk
tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam
27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di haalman rumah dengan
anak cucu. Datuk membelikan mereka untuk anak cucu. Datuk membelikan mercun
untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang
menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mungumpulkan
anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian
akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.
Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi
kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek
pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu.
Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada
siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya
kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara
:
"Usah bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini."
"Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu." Jawapan nenek itu, menghilangkan
keraguan anak cucu.
Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk
tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian,
bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk
nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak
pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab
nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku perteengkaran, kalau sudah bertengkar
nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak
menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu
ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia merasa bersyukur
pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup,
bagi nenek kalau ai kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu
hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang
maha besar.
Barang kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil
oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan
Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap
bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk. Akhirnya
anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana
urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula
yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah
meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk
dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan.
Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.
Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya
bergerak, datuktidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak
cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya
cukup hiba.
"Sampaikan salam pada datuk," kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua
belas. Matanya merenung muka nenek.
"Boleh, jangan bimbang," nenek memberikan perngakuan. Ahmad Zaki yang
lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di
Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi,
nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat
ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata
hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama
mereka. Tidak guna kalau dudu rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.
Bila nenek menkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan
datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan
yang maha bersar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih
dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di
depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya
yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang
matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.
Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang.
Ia terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat
Muhammad Hakim keluar dari kereta.
"Kenapa ada barang tinggal ?" Tanya nenek.
"Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam.
Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas
sebagai pegawai kastam.
"Apa yang mesti kita buat ?" Nenek menyoal. Mohammad Hakim suruh nenek
masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah
ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah.
Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.
Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri
mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan.
Datuk pun balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada
jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah. Selepas sembahyang, seorang jiran
datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan
itu dengan tenang.
"Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi," kata
datuk pada jiran yang menyampaikan pesan. Apa yang dicakapkan oleh datuk, di
kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian
datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia
membawa barang keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk
periksa injin kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk
perjalanan jauh.
Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang
mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford
Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudahpun melintasi
Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh
Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam
hujan lebat. Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali
datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan
datuk terpaksa memberhentikan keretanya.
Datuk sudahpun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah
memasuki Pekan Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi
datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan
Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk
berhenti dengan tiba-tiba, Ia cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak
berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluarkan dari perut kereta. Datuk
membuka bahagian depan dengan lampu oicit di tangan ia meraba semua wayar yang
terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.
Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak
bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di tempat
sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula bermaharajalela.
Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa diri nya berada tidak jauh
dari Bukit Berapti. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit
Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.
Hujan terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat
jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang
melintaas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia, Tiba-tiba
datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan cahaya
lampu itu datangnya dari sebuah rumah.
Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian ia memutuskan untuk
pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta.
Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam
satu lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat
pun memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat
dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air
hujan.
Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada
jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri
sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.
"Saya mahu tumpang berteduh," kata datuk.
"Begitu, masuklah ke dalam."
"Tak payah, biarlah di luar sahaja."
"Jangan begitu masuklah." Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk
supaya masuk ke dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang
tamu. Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu.
Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas
habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.
"Tinggal seorang saja," tanya datuk. Perempuan muda yang berambut
panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup
angin malam.
"Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit."
"Suami ?"
"Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati
ditembak komunis di Sungai Siput."
"Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,"
"Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak
rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya
saya memerlukan pertolongan dari awak."
"Awak perempuan yang baik hati,"
"Usahlah terlalu memuji," tingkah perempuan muda.
Di luar ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah.
Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri,
sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan
anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur
datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk
terdengar bunyi suara perempuan mengilai. Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya
pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu
di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya.
Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab.
Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu
datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina.
Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga
terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli
rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.
Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan
datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.
"Bilik untuk awak tidur di sini," ujar perempuan muda itu, datuk melihat
sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.
"Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak," tambah perempuan
cantik itu, "kereta awak dan awak selamat di sini."
"Terima kasih." Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk
terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan
terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya,
ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk
menggelengkan kepala.
"Aku tidak sejahat itu," kata datuk dalam hati. Ia rebahkan badan
atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar
bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis.
Datuk tidak mengiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya,
datuk terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu
membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan
itu , datuk tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha
datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk
pun terjaga.
Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke
dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma
tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak
ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar.
Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah
buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.
Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan kekitar
rumah itu ama meyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala.
Tidak napak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan
sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor
bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.
Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air
itu sudah masuk ke dalam perutnya.
"Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan," bisik batin datuk. Ia pun
meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan
injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke
depan. Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital
Batu Gajah. Ia kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah
meninggal dunia. Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan
kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.
"Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung
diri di ruang tengah rumah tu," beritahu pekerja itu pada datuk.
"Sebab ?"
"Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain."
"Begitu ?" suara datuk lembut.